Bagaimana Menjadi Usahawan Berjaya, Kaya dan Bahagia – Part 2

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada semua pembaca setia di teratak Fathuallah.com. So macam-mana hari puasa yang ke-3? Pasti makin bertambah hebat dan bersemangat. ;)

Alhamdulillah, entri yang lepas saya berkongsi tip bagaimana untuk menjadi usahawan berjaya, kaya dan bahagia. Belum baca? Ok, cuba lihat kat sini.

Ini adalah tip yang berikutnya dan perlu diberi perhatian yang tinggi!

Tip #2. Kuasa Fokus

“Kunci utama kejayaan adalah fokus kepada berfikir tentang apa yang kita mahukan bukannya apa yang kita takutkan.” – Brian Tracy

Fokus, Fokus dan Fokus! Itu adalah asas kepada sesebuah kejayaan yang terulung. Jika anda sudah mengetahui apakah kelebihan dan juga kekuatan yang anda ada, terus berikan penekanan yang tinggi.

Jika anda sudah mengenalpasti apakah potensi sebenar yang anda ada, nescaya anda telah menjimatkan banyak masa mencuba sesuatu yang belum tentu mendatangkan sebarang hasil. :P

Pemerhatian saya terhadap dunia hari ini, sedari kecil kita semua dilatih supaya mempunyai matlamat dan impian. Sewaktu itulah kita sentiasa merasakan impian dan harapan itu semuanya adalah realistik dan mampu untuk dicapai. Bukan setakat menjadi doktor malahan untuk menjadi angkasawan pun masih lagi logik hanya pada ketika itu.

Apa yang menjadi kelainannya di sini adalah setelah kita semua meningkat usia remaja dan dewasa, kita diibaratkan semakin takut dan tidak berani untuk bercita-cita tinggi. Seboleh-bolehnya kita hanya ingin lakukan perkara yang hanya pasti dan dijamin berhasil dan langsung tidak ingin dilabel sebagai seorang yang gagal.

Tidak dapat dinafikan lagi, sekiranya kita bertanya kepada mereka yang berada pada tahap pengajian tinggi, mereka ini masih lagi mempunyai matlamat dan harapan untuk terus mencapai apa yang diimpikan oleh mereka semua. Namun sebaik sahaja mereka semua menamatkan zaman pengajian tinggi, mereka semua akan mula terkapai-kapai dan ibarat sudah hilang arah tuju.

Bagi yang mendapat pekerjaan seperti apa yang mereka impikan sejak dari dulu, mereka ini akan berterusan fokus dan mencuba sedaya-upaya untuk berjaya dengan gilang-gemilang. Apa pula nasib mereka yang tidak berada di laluan yang mereka inginkan?

Untuk pengetahuan anda semua, golongan sebegini bukan sedikit jumlahnya. Mereka boleh diibaratkan satu populasi yang besar dan seperti tidak tahu lagi ke manakah yang patut dituju. Jika anda tergolong dalam golongan ini dan memilih untuk mencapai kejayaan menerusi pernigaan, tahniah dan syabas saya ucapkan kepada anda semua.

Anda telah memilih satu arena yang begitu mencabar dan akan memaksa anda berada dalam zon yang tidak selesa buat satu jangka masa yang panjang. Jika anda benar-benar yakin dan kuat, anda akan berjaya menempuhi halangan ini dengan jayanya.

Bilamana anda sudah memilih untuk menjadi seorang usahawan, pertamanya anda perlu tetapkan satu sasaran di manakah anda akan berada untuk masa yang akan datang. Sasaran tersebut perlu dibahagikan kepada sasaran jangka pendek dan panjang.

Setelah anda semua sudah berjaya membayangkan di manakah anda akan berada dalam tempoh lima ke sepuluh tahun yang akan datang, maka hal ini akan membantu anda untuk lebih fokus dan memberi tumpuan 100% terhadap segala perkara yang akan anda lakukan.

Seringkali saya lihat mereka yang dalam hidupnya tidak mensasarkan sebarang matlamat akan mudah kecundang dalam apa sahaja perkara yang mereka lakukan. Mereka hanya melakukan sesuatu perkara semata-mata meniru orang lain yang sudah pun berjaya.

Mereka merasakan dengan hanya meniru golongan yang sudah pun berjaya akan membuatkan mereka turut sama berjaya dan sudah pun memadai. Hakikatnya lebih banyak anda meniru orang lain maka lebih banyak masa yang anda habiskan untuk menjadi orang lain.

Konsep untuk berjaya dalam dunia perniagaan bukan setakat mengikut jejak langkah mereka yang telah pun berjaya, anda perlu berusaha dua kali ganda melebihi usaha mereka yang sudah pun berjaya. Mereka yang telah berjaya mencapai sebuah kejayaan kerana mereka telah memulakannya sedari awal dan banyak menghabiskan masa mereka mempelajari kesilapan yang telah mereka lakukan sebelum benar-benar mencapai status kejayaan.

Zaman kini tidak lagi seperti zaman sepuluh ataupun  dua puluh tahun yang lepas. Teknologi kini semakin canggih dan cepat berubah. Mereka yang berjaya hari ini sudah mengenalpasti di manakah kelebihan mereka dan apakah faktor-faktor luaran yang membantu mereka untuk lebih berjaya.

Dahulunya mungkin hanya dengan berjumpa lebih ramai orang maka kita akan mendapat lebih banyak jualan berbanding dengan mereka yang hanya berdiam diri dan menantikan orang lain hadir kepada mereka.

Keadaan hari ini tidak lagi seperti dahulu, kini dengan adanya teknologi Internet persaingan untuk kita menggandakan lagi jualan semakin tinggi dan semakin mencabar. Justeru itu, sekiranya kita mengabaikan faktor luaran yang dapat membantu kita untuk menjana jualan yang lebih nescaya kita akan ketinggalan di belakang. Mereka yang pantas mengambil ruang dan peluang kebiasaannya akan menjadi pemimpin dalam industri yang mereka ceburi.

Saya pernah bertemu dengan seorang insan yang hebat dalam membuat jualan menerusi Internet. Beliau masih lagi berumur awal 20-an ketika mampu membuat jualan sebanyak RM400,000! Bayangkan untuk seorang jurujual biasa membuat jualan secara face to face dan mencapai angka sebanyak itu akan mengambil masa yang begitu lama dan nasib sekiranya mereka dapat bertemu dengan pelanggan yang berprofil tinggi.

Berkat kesungguhan beliau dalam membuat jualan menerusi Internet dan fokus terhadap apa yang beliau lakukan, maka kejayaan yang diimpikan beliau terhasil pada usia yang cukup muda.

Saya berpeluang bertanya kepada beliau apakah rahsia yang membuatkan beliau benar-benar mampu membuat jualan sehingga enam angka pada usia yang cukup muda. Beliau menjawab dengan begitu tenang sekali, sebelum beliau benar-benar terlibat dalam dunia pemasaran Internet, beliau telah mencuba pelbagai jenis perniagaan.

Sedari menjual di tepi jalan sehinggalah menjual dari meja ke meja restoren. Semuanya beliau lakukan demi mencari sesuap nasi. Keluarga beliau bukanlah datangnya dari golongan yang berada. Di sebabkan tekanan yang tinggi dalam keluarga, beliau nekad untuk mencuba nasib dalam dunia pemasaran Internet.

Untuk makluman anda, sebelum beliau mampu membuat jualan sebanyak enam angka tersebut, apa yang beliau lakukan adalah dengan membuat pelaburan terlebih dahulu kepada kemahiran dan ilmu berkenaan Internet dengan mereka yang sudah pun bergelar pakar di peringkat antarabangsa. Beliau sanggup menghabiskan hampir RM20,000 semata-mata ingin berguru dengan mereka yang telah pun pakar!

Pendapat andalah, adakah pelaburan sebanyak RM20,000 itu tadi benar-benar berbaloi dengan hasil sebanyak RM400,000? Bagi saya itu adalah pelaburan yang paling hebat yang perlu ada pada setiap insan yang ingin berjaya dalam arena perniagaan.

Pelaburan kepada kemahiran dan ilmu pengetahuan. Lihatlah betapa berkuasanya sekiranya kita melakukan sesuatu perkara dengan mempunyai seorang guru yang telah pun pakar dalam industri tersebut dan membimbing kita supaya menjadi lebih hebat daripada mereka.

Beliau mempunyai satu sikap dan tabiat yang cukup baik dan perlu menjadi ikutan ramai pihak iaitu kuasa fokus.

Setelah beliau memulakan perniagaan dengan berguru, beliau tidak lagi menoleh ke belakang semata-mata ingin melakukan semua perkara dalam satu masa iaitu menjual apa sahaja seperti sebelumnya. Beliau hanya fokus kepada apa yang telah dicadangkan oleh guru beliau dan melakukannya tanpa banyak soal.

Setelah mengikuti segala tunjuk ajar yang telah diberikan oleh gurunya, maka beliau mula mendapat jualan yang pertama sebanyak RM80,000! Mulai dari saat itu juga disebabkan hasilnya setimpal dengan apa yang telah dilaburkan maka beliau sudah mempunyai semangat yang lebih tinggi dan kuasa fokus itu tadi telah banyak membantunya menjadi lebih hebat dalam membuat jualan yang lebih tinggi sehingga kini beliau sudah membuat jualan terkumpul sebanyak RM400,000!

Itulah sikap dan ciri-ciri yang perlu ada sekiranya anda benar-benar ingin menjadi usahawan yang hebat. Ramai yang berada di luar sana mempunyai semangat untuk berjaya namun setelah memulakan langkah pertama mereka sudah mengibarkan bendera putih.

Berjumpa dengan pelanggan pertama pun sudah terasa hati dan tidak sanggup untuk meneruskan langkah seterusnya. Bagaimana untuk kita menjadi lebih kuat dan berkeyakinan tinggi sekiranya kita mempunyai hati yang ibarat kaca. Pantang dilepaskan dari tangan sudah pecah berderai.

Seorang usahawan yang sejati perlulah mempunyai hati kering. Hati kering di sini bermaksud anda langsung tidak mempedulikan cakap-cakap orang yang suka menjatuhkan anda. Hati kering ini juga perlu ketika anda berhadapan dengan pelanggan yang hanya mementingkan diri mereka sahaja.

Walau apa yang dikatakan oleh mereka, anda tetap sabar dan fokus kepada apa yang anda benar-benar inginkan. Jangan disebabkan cakap-cakap belakang anda sudah mula kecewa dan tidak ingin meneruskan semangat dalam arena perniagaan ini.

Pernah satu ketika saya berhadapan dengan penjual yang sememangnya mempunyai hati kering. Walau apa pun yang dikatakan, beliau tetap tersenyum dan berdegil untuk terus memujuk saya. Ayat-ayat yang digunakan cukup memberi impak kepada saya sehinggakan saya tertarik pada akhirnya walaupun menolak pada tawaran yang pertama.

Inilah yang dikatakan kuasa fokus penjual tadi yang ingin menjadikan saya salah seorang pelanggannya dan kini saya masih lagi membeli darinya hanya kerana sikapnya yang hati kering dan saya secara tidak langsung menyedari servis yang diberikan sebenarnya adalah terbaik.

Cuba anda perhatikan hanya dengan mempunyai hati kering, beliau mampu membuatkan saya terbuka hati membeli daripadanya walaupun pada awalnya saya menolak mentah-mentah tawaran yang diberikan. Bayangkan sekiranya kita nekad dan mempunyai hati kering, kita secara tidak langsung sudah mengasah bakat kita ke arah menjadi seorang usahawan yang hebat. Andai kata sekiranya tawaran awal saya tolak dan beliau berlalu begitu sahaja, maka beliau telah kehilangan satu prospek yang amat berkualiti tinggi. ;)

Itulah perkara yang sering terjadi sekiranya kita fokus melakukan sesuatu perkara dan hasil yang bakal diperoleh sentiasa berada di luar jangkaan kita semua. Kuasa fokus adalah sesuatu yang amat diberi penekanan tinggi oleh mereka yang telah pun berjaya.

Jika anda mempunyai cerita mahupun pengalaman berkenaan kuasa fokus ini, jom kongsikan di bawah. :)

Fast Action Target Hit = FATH

Related Post

Mohd Fathuallah
Tags: , , , , , , , , , , , , , , , , , ,

Komentar:

Halaman

Kategori

Fath di