Bagaimana Menjadi Usahawan Berjaya, Kaya dan Bahagia – Part 1

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada semua pembaca setia di teratak Fathuallah.com. Saya doakan semoga anda berjaya, kaya dan bahagia sokmo. ;)

Pasti ada yang ternanti-nanti keluaran entri terbaru daripada saya, ya dak?

Saya pohon sejuta kemaafan kerana amat sibuk dengan proses editing keluaran buku pertama dan juga urusan perniagaan. Jangan lupa dapatkan buku saya nanti ya. Sabar, belum keluar lagi. Bila dah keluar, saya bagitau ya. :)

Ramai yang bertanya saya bagaimana nak jadi usahawan berjaya, kaya dan bahagia. Entri kali ini merungkaikan persoalan tersebut dan saya akan bongkarkan apakah tips yang perlu di amalkan untuk menjadi seperti tadi.

Tip #1.Berpandangan Jauh

“Bila saya fikirkan visi, minda saya berfikir melangkaui fikiran orang-orang biasa.” – Charles R.Swindoll

Untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya, anda perlu mempunyai satu matlamat yang jelas mengapa anda memilih untuk berniaga. Saya memilih kerjaya sebagai usahawan adalah kerana minat yang mendalam dan minat itu tidak pernah padam dalam diri. ;)

Apa sahaja yang bakal terjadi, saya akan lalui dengan tabah dan penuh kesungguhan. Tiada sesuatu pun yang dapat menghalang saya daripada meneruskan minat ini. :)

Semenjak di bangku sekolah lagi, saya sudah melakukan berbagai jenis perniagaan. Jika difikirkan, saya sudah menghabiskan banyak masa semata-mata ingin menjadi seorang usahawan namun kemahiran yang paling berharga yang telah dipelajari sedari awal adalah teknik menjual yang sudah menjadi darah daging saya sehingga kini.

Berilah apa sahaja produk ataupun perkhidmatan, saya pasti akan melakukan segala usaha bagi memastikan produk ataupun perkhidmatan tadi dibeli.

Tidak kira samada produk ataupun perkhidmatan tersebut berada pada harga yang rendah mahupun tinggi, saya akan menggunakan segala kemahiran yang ada bagi membina keyakinan pelanggan untuk terus membeli daripada saya.

Minda anda perlu dibina dengan sebaik mungkin kerana akan ada satu masa di mana kenalan anda akan mengatakan bahawa anda langsung tidak mempunyai bakat untuk menjual.

Jika minda anda kuat dan utuh, kata-kata tadi sebenarnya cuba untuk menjadikan anda orang yang biasa-biasa sahaja dan malas untuk mencuba dan berikan yang terbaik.

Golongan ini selalunya akan cuba menidakkan kebolehan anda yang terpendam dan mereka merasakan cukup tercabar sekiranya anda berjaya melakukan sesuatu yang melebihi keupayaan mereka.

Dalam dunia perniagaan, kenalan kita akan menjadi orang yang membantu kita dalam proses kita mencapai kejayaan ataupun sebaliknya. Jika anda menyedari hakikat bahawa mereka langsung tidak membantu anda untuk menjadi lebih hebat, abaikan sahaja mereka dalam hidup anda.

Banyak lagi perkara yang perlu anda selesaikan bagi memastikan matlamat yang anda bina akan tercapai tidak kiralah samada cepat ataupun lambat. Semuanya bergantung kepada usaha yang anda berikan kepada matlamat tersebut.

Sekiranya kita hanya melakukan sesuatu pekerjaan itu ibarat hangat-hangat tahi ayam maka hasilnya juga tidak akan kekal lama. Akan tetapi sekiranya anda mempunyai gaya pemikiran dan pandangan yang jauh nescaya apa sahaja yang bakal dilakukan akan dilaksanakan dengan penuh semangat.

Saya di awal pembabitan dalam dunia perniagaan secara bersungguh-sungguh, banyak kali saya berputus asa dengan apa yang diusahakan. Macam-macam perkara yang saya cuba lakukan bagi menjayakan apa yang dirancang, namun kesudahannya saya tidak mencapai apa yang dihajati malahan banyak wang dan masa yang berlalu dengan begitu sahaja.

Saya terlalu mengejar keuntungan semata-mata dan inginkan hasilnya dalam satu tempoh yang singkat dan pantas. Disebabkan terlalu berharap dengan keputusan itu tadi, saya berasa cukup kecewa dan cepat berputus asa dengan apa yang dilakukan selama ini.

Mulai dari saat itu saya berfikir dan merenung kembali apakah faktor yang menyebabkan saya tidak mendapat hasil yang diidamkan selama ini. Setelah kajian dan penelitian dibuat, saya menyedari bahawa matlamat yang disasarkan sekiranya hanya berasaskan keuntungan semata-mata kebanyakkannya akan membawa kepada hasil yang sementara dan sedikit sahaja bukan seperti yang dijangkakan.

Setelah menyedari hakikat tersebut, saya terus merancang satu strategi baru yang mana apa sahaja yang saya akan lakukan adalah perkara yang bersifat berpanjangan dan bukan lagi perkara yang bersifat sementara.

Saya memperbaharui matlamat yang sedia ada kepada matlamat yang jelas dan mempunyai sebab yang jitu. Sebagai contoh, pada permulaan saya berjinak-jinak dengan perniagaan, apa yang saya nampak hanyalah dengan menjana keuntungan yang banyak.

Namun apa yang saya temui hanyalah jalan buntu kepada prosesnya. Dua daripada tiga percubaan saya gagal kerana hati saya hanya menumpukan keuntungan berbanding tujuan ingin berkongsi dengan orang ramai.

Setelah percubaan ketiga, saya mula mendapat rentak yang seimbang dan segala yang saya lakukan adalah dengan hati yang bersungguh-sungguh dan perasaan yang berkobar-kobar. Setiap kali tibanya waktu istirehat, minda saya merasakan tidak berbaloi sekiranya masa lena tidak dimaksimakan penggunaannya untuk menulis.

Namun badan memerlukan rehat yang baik, saya memujuk diri supaya berehat dulu seketika agar esoknya saya mendapat idea yang lebih menarik dan sentiasa segar untuk dijadikan pedoman oleh para pembaca.

Hanya dengan mengubah cara berfikir saya telah dapat melakukan banyak perkara dengan jayanya. Salah satu daripadanya adalah sentiasa bersedia untuk berkongsi walau apa sahaja, di mana sahaja dan dengan sesiapa sahaja.

Pernah satu ketika saya bertemu dengan seorang yang sudah lama berada dalam arena perniagaan. Beliau cukup kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh saya dan beliau mengatakan saya adalah lain daripada yang lain. Terdetik di hati saya apakah yang dimaksudkan oleh rakan saya itu tadi.

Setelah berbicara, beliau menyatakan saya sentiasa bersemangat dalam melakukan sesuatu perkara dan langsung tidak menghiraukan keputusan yang bakal dicapai dalam masa yang singkat. Apa yang beliau nyatakan lagi adalah saya sentiasa mencari ruang dan peluang untuk berjaya dalam satu perkara yang mempunyai potensi keuntungan jangka masa panjang berbanding keuntungan jangka masa pendek.

Setelah mendengar apa yang beliau nyatakan, saya cukup terharu dan berbangga kerana gaya pemikiran yang saya bawakan sudah dapat dikenalpasti oleh orang lain yang mana sebelumnya saya hanya impikan kejayaan dalam masa yang singkat serta keuntungan diraih dalam masa yang cepat.

Ternyatalah di sini bahawa keupayaan kita untuk berfikiran dan berpandangan jauh sentiasa terbuka dan kita perlu buktikan pada diri sendiri yang kita mampu untuk berjaya dalam apa jua yang kita lakukan.

Sepanjang usia saya berada dalam arena perniagaan dan jualan, amat besar sekali populasi yang menyatakan perniagaan adalah salah satu bidang yang paling baik dan senang untuk dilaksanakan.

Rangkap pertama yang menyatakan bidang ini adalah yang paling baik memang tepat sekali namun ada juga yang menyatakan bidang yang paling senang, saya tidak bersetuju dengan pendapat tersebut.

Bidang pernigaan merangkumi pelbagai proses sebelum mencapai status kejayaan. Konsep yang paling mudah untuk difahami adalah kejayaan dalam bidang ini tidak akan datang bergolek. Ianya memerlukan semangat juang yang tinggi dan hati yang kental bagi menghadapi hari-hari yang mencabar.

Jika bidang ini dikatakan satu bidang yang senang dan mudah untuk dilaksanakannya, mungkin sudah ramai yang menceburinya dan mencapai status yang berjaya dalam masa yang singkat. Namun hakikatnya mereka yang benar-benar berjaya dalam bidang ini amat sedikit jumlahnya dan jangka masa yang mereka ambil sebelum mengecapi kesenangan amatlah panjang dan penuh dengan liku-liku mencabar.

Saya ambil contoh seorang wanita yang menjadi ikon kepada usahawan Negara yang terbilang iaitu, Datuk Maznah Hamid. Sebelum beliau dan suami beliau mencapai status yang dikecapi hari ini, pelbagai ranjau berduri yang telah mereka lalui sedari awal memulakan langkah sebagai seorang usahawan.

Apa yang membuatkan saya cukup berbangga dengan beliau adalah setiap hari sebelum mereka memulakan perniagaan, mereka akan ke satu tempat yang mana terletaknya sebuah rumah yang tersegam indah dengan hanya menaiki motorsikal sahaja. Tujuan mereka ke situ tidak lain dan tidak bukan adalah rumah tersebut menjadi sumber inspirasi agar suatu hari nanti mereka berjaya dalam perniagaan dan mampu untuk memiliki rumah seperti itu.

Lihatlah betapa kental dan semangat juang yang tinggi ditunjukkan oleh beliau yang juga dikenali sebagai Iron Lady Malaysia. Kini beliau mempunyai berpuluh-puluh syarikat sekuriti yang menjadi pilihan utama di kebanyakkan syarikat besar Malaysia. Hampir kesemua negeri mempunyai cawangan syarikat sekuriti beliau.

Setelah dinilai dan dikaji kembali, inilah antara faktor utama kepada seseorang itu berjaya mengecapi apa yang mereka idamkan.

Faktor mempunyai pandangan jauh terhadap apa yang diimpikan sentiasa membuahkan hasil yang terbaik dan menjadi satu sumber inspirasi bukan sahaja kepada mereka yang berjaya itu namun bagi mereka lain yang ingin sama berada pada situasi tersebut.

Sekiranya anda benar-benar ingin berjaya dalam bidang pernigaan, tetapkan satu matlamat yang mampu memberi impak yang maksima kepada apa yang anda impikan dalam hidup ini. Tanpa minda berfikiran jauh, mustahil untuk anda bukan sahaja mengekalkan kejayaan namun untuk mencapainya pun belum tentu lagi.

Jom kongsi apa matlamat anda yang sebenar dalam perniagaan di ruangan komen di bawah. Mana tau saya boleh bantu. :)

Fast Action Target Hit = FATH

Related Post

Mohd Fathuallah
Tags: , , , , , , , , , , , , , , , , ,

Komentar:

Halaman

Kategori

Fath di