Ubah Matlamat Sebelum Terlambat

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada semua pembaca setia di teratak Fathuallah.com. Saya doakan semoga anda semua berjaya, kaya dan bahagia. :)

Alhamdulillah, nampaknya musim cuti sekolah ni ramai yang perlu menghadiri majlis kenduri dan doa selamat. Mungkin anda juga antara yang menjadi raja seharinya. Tahniah diucapkan! Semoga berkekalan hingga ke anak cucu.

Jalan-jalan Cari Makan!

Ada juga yang saya dengar mereka terpaksa menghadiri sehinggakan 6 jemputan majlis dalam sehari. Memang hebat siapa yang berniaga menyediakan khidmat catering, andaman, kelengkapan pakaian pengatin dan tidak lupa juga kepada fotographer. Sampai dapat tender 6 majlis sehari. Kalau nak kata peluang berniaga itu masih lagi kecil, tepuk dada tanyalah selera. :D

Hari ni saya tidak akan menyentuh isu kenduri-kendara, hari ni saya nak berkongsi satu pengalaman berkenaan kesilapan besar yang pernah saya lakukan sepanjang berada dalam dunia perniagaan.

Hampir dua tahun yang lepas, saya diberi pendedahan berkenaan satu DVD dokumentari yang berjudul The Secret. Saya yakin dan percaya, ada di kalangan anda semua yang pernah menontonnya dan paling tidak pun pernah membaca bukunya.

Saya tidak seperti orang lain. Biasanya orang akan menonton DVD selepas membaca bukunya terlebih dahulu. Tapi saya tidak, terbalik jadinya. Saya tonton dulu DVD lepas tu baru baca bukunya.

Dalam entri kali ini saya tidak akan bercerita keseluruhan isi kandungan DVD mahupun buku tersebut. Biarlah orang yang belum membaca dan menontonnya tertanya-tanya apakah di sebalik maksud yang saya cuba sampaikan kali ini. :P

Saya suka mengambil contoh The Secret kerana cara penyampaiannya cukup mudah difahami dan jelas. Nak tahu apa kesilapan besar yang pernah saya lakukan?

Terlajak Perahu Boleh Di Undur. . .

Kesilapan besar tersebut adalah berkenaan dengan matlamat!

Bila mana matlamat yang kita tetapkan pada suatu masa dahulu telah tercapai, kita akan mula menyedari satu kelemahan yang ketara dalam matlamat yang kita tetapkan.

Mengapa saya ingin tekankan perihal matlamat?

Matlamat adalah ibarat benih untuk sesuatu tanaman manakala hasil yang akan dikecapi adalah buahnya. Jika benih yang kita tanam akan menghasilkan buah jambu, maka hasilnya adalah buah jambu dan jika benihnya adalah buah durian, maka hasilnya tetap buah durian yang berduri.

Setelah cukup umur pokok tersebut menghasilkan buahnya, anda jangan lagi bermimpi mengidam buahnya adalah durian sekiranya benih yang anda tanam adalah benih jambu. Menangis air mata darah sekali pun, pokok tersebut tetap akan menghasilkan buah jambu bukannya buah durian!

Maksudnya di sini, jika matlamat yang kita sasarkan adalah kecil, maka hasil yang akan kita terima adalah sama seperti yang kita tetapkan di awalnya dan menjadi satu perkara yang agak mustahil untuk mendapat hasil yang sebaliknya. Anda akan menerima apa yang anda tetapkan.

Kaji Sedalam-dalamnya!

Jika anda inginkan hasil yang lebih besar, anda terpaksa menanam biji benih yang lain dan terpaksa menunggu satu tempoh masa lagi untuk pokok itu mula berbuah.

Saya bersyukur kerana telah mencapai matlamat yang saya tetapkan selepas menonton DVD The Secret. Alhamdulillah saya amat berterima kasih atas segala rezki yang telah dikurniakan.

Pada mulanya saya menjangkakan matlamat tersebut sudah cukup besar, namun setelah berjaya mengecapi hasilnya, ianya dilihat seakan matlamat yang kecil untuk dicapai dan kini saya kembali memasang matlamat yang baru dan berani untuk meletakkan yang luar biasa besar!

Secara kesimpulannya, jangan sekali-kali menetapkan satu matlamat yang kecil. Saya tegaskan bahawa anda perlu letakkan matlamat yang sebesar mungkin. Biarlah apa orang nak kata, apa yang penting anda perlu yakin dan berani merealisasikan matlamat tersebut.

6 Tips Mencapai Matlamat Dengan Pantas!

Saya akan kongsikan 6 tips bagaimana cara yang saya lakukan bagi memastikan matlamat saya tercapai.

Tip #1. Tulis Matlamat Di Atas Kertas

Saya sarankan anda menulis matlamat di atas kertas kerana tulisan tangan sebenarnya lebih memberikan kesan psikologi yang lebih tinggi kepada minda kita berbanding perkataan daripada komputer.

Jika anda suka kepada kepelbagaian warna, tulislah matlamat tersebut mengikut kreativi masing-masing. Lebih cantik matlamat tersebut, lebih senang untuk anda mengingatinya.

Tip #2. Letakkan Matlamat Di Tempat Mudah Di Lihat

Saya sentiasa sediakan satu papan khas di dalam bilik dan akan menjadikan papan tersebut sebagai papan Impian. Jika sehari saya tidak melihat dan membacanya, saya akan terasa satu kehilangan yang besar lebih-lebih lagi sumber motivasi kepada segala apa yang saya lakukan.

Anda boleh guna white board sebagai salah satu pilihan alternatif.

Tip #3. Baca Dan Ulang Matlamat Tersebut Berulang Kali

Saya akan pastikan matlmat yang saya tetapkan dibaca tidak kurang daripada 3 kali sehari. Setiap kali membacanya, saya akan menggambarkan di dalam minda separa sedar saya bahawa matlamat tersebut sudah pun tercapai dan saya amat gembira mengecapinya.

Anda perlu lebih kreatif setiap kali anda membaca matlamat tersebut.

Tip #4. Beritahu Orang Lain Matlamat Tersebut

Perkara paling sukar dan ternyata memberi impak yang paling besar adalah untuk menyatakan matlamat kita kepada orang lain.

Kadang-kadang saya pun malu untuk nyatakan matlamat saya kepada orang lain apatah lagi di tempat awam. Namun kini setelah menyedari akan keberkesanannya, saya dengan sengaja memberitahu kepada orang lain apakah matlamat yang saya ingin capai.

Tip #5. Percaya 100% Matlamat Itu Akan Berjaya!

Perkara yang perlu menjadi perhatian penting adalah anda perlu yakin dan percaya 100% bahawa matlamat itu akan membuahkan hasil. Jika anda masih berdolak-dalih bahawa matlamat tersebut seperti sesuatu yang mustahil, lebih baik anda berhati-hati kerana sikap berdolak-dalih itu tadi akan melambatkan proses sebenar anda mengecapi kejayaan.

Tip #6. Fast Action!

Ini adalah perkara yang paling mustahak dalam perjalanan anda mencapai kejayaan. Jika matlamat sudah tersergam indah namun anda masih lagi dibuai mimpi indah dan tidak bertindak pantas untuk merealisasikan matlamat tersebut, lebih baik anda tidak mempunyai matlamat langsung.

Anda wajib bertanggungjawab penuh terhadap segala matlamat yang telah ditetapkan.

Fast Action Target Hit = FATH

Related Post

Mohd Fathuallah
Tags: , , , , , , , , , , , , , , ,

Komentar:

Halaman

Kategori

Fath di