Cara Hidup Orang Kaya Yang Sebenar Terbongkar!

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada semua pembaca setia di teratak Fathuallah.com. Saya doakan semoga anda semua berada dalam keadaan sihat dan luar biasa hebat! ;)

Baiklah, hari ini saya akan kongsikan satu lagi pengalaman hebat saya bersama golongan yang luar biasa hebat. Ikuti dengan teliti dan hayati setiap gerak-geri dan tingkah-laku mereka.

“ Saya tahu, yakin dan pasti saya akan menjadi kaya. Tidak pernah sekalipun saya menafikannya walaupun seminit. ” – Warren Buffet

Ramai orang yang bercita-cita dan ingin menjadi seorang yang kaya-raya. Mereka inginkan kemewahan dan harta berada di sekeliling mereka. Mereka inginkan semuanya senang dan tanpa perlu bersusah-payah untuk mendapatkan sesuatu.

Sebut sahaja apa yang mereka mahukan dan ianya akan hadir di hadapan mereka. Memandu kereta mewah, tinggal di rumah yang indah dikelilingi tasik dan pemandangan yang indah-indah belaka. Hari-hari mereka hanyalah untuk bersenang-lenang dan tanpa perlu berbuat apa-apa.

Inilah realiti dan pemikiran orang yang tidak akan berjaya untuk menjadi kaya dan bahagia. Apa yang mereka ingini amat baik akan tetapi cara untuk mereka dapatkan kesemua keindahan itu tadi menyebabkan mereka tidak akan pernah sampai ke tahap itu.

Apa sahaja skim yang ditawarkan di luar sana dan jika skim tersebut memberi jaminan pulangan yang lumayan serta dalam tempoh yang singkat, nescaya ramai yang akan berpusu-pusu menyerbu skim tersebut tanpa menghiraukan apakah pengertian sebenar kekayaan itu.

Saya berkesempatan mengenali ramai individu yang mencapai status kekayaan yang sebenar. Untuk pengetahuan umum, bilamana anda bersama dengan kelompok kaya yang sebenar ini, anda akan dapati apa sahaja yang digembar-gemburkan di dalam kaca telivisyen mahu pun layar perak semuanya adalah tidak bertepatan dengan erti kekayaan yang sebenar.

Pada hakikatnya, golongan kaya ini terbahagi kepada beberapa golongan. Ada yang secara asalnya dari keturunan bangsawan dan kaya-raya sejak dahulu lagi. Ada juga yang kaya secara kebetulan seperti terkena loteri dan kekayaan sebegini tidak akan berkekalan dalam tempoh masa yang panjang. :P

Kekayaan yang paling tidak digemari oleh ramai orang adalah kekayaan yang memerlukan kerja keras dalam jangka masa yang panjang dan lama. Golongan kaya yang terakhir inilah kebiasaannya akan berkekalan hingga ke akhir hayat mereka.

Kekayaan yang paling tidak digemari oleh ramai orang adalah kekayaan yang memerlukan kerja keras dalam jangka masa yang panjang dan lama.

Setiap sesuatu yang datang kepada kita dengan mudah dan senang kebiasaannya tidak akan kekal lama. Disebabkan terlalu senang untuk diperolehi, kita akan mempunyai satu sifat yang buruk iaitu kita tidak akan menghargai kehadirannya dan dengan senangnya ia pergi meninggalkan kita.

Akan tetapi jika apa sahaja yang kita perolehi dengan kerja keras dan susah payah untuk mendapatkannya, nescaya kita akan menghargai dan menjaganya dengan penuh perhatian dan tumpuan agar ianya akan berkekalan dengan kita semua. Itulah hakikat yang perlu diterima.

Saya secara jujurnya tidak dilahirkan dalam golongan berada. Kami hidup dalam keadaan aman dan harmoni. Akan tetapi topik perbualan yang berkaitan kewangan sentiasa tidak dibincangkan di meja makan dan bukan isu yang perlu dititik-beratkan.

Saya tidak menyalahkan keadaan, saya mengambil langkah berani untuk tidak selamanya begitu. Saya dengan nekad ingin mengubah nasib keluarga untuk menjadi lebih baik.

Saya pada peringkat awalnya berjinak-jinak dengan pembacaan buku-buku bagaimana untuk menjadi kaya dan bahagia. Segala buku yang berkaitan kekayaan saya beli tanpa menghiraukan harga buku tersebut. Saya menganggap pembelian tersebut adalah pelaburan sepanjang hayat saya demi mencapai cita-cita saya. ;)

Tidak cukup dengan itu, saya laburkan lagi wang dengan menghadiri kursus-kursus dan ceramah yang berkaitan bagaimana hendak mencapai status kaya-raya. Kebanyakan akan bercerita berkenaan gaya pemikiran dan tindakan. Saya rasa itu semua belum memadai untuk saya mencapai apa yang saya inginkan selama ini.

Dalam masa saya membina jaringan kenalan yang lebih luas, saya berpeluang berkenalan dengan beberapa orang yang pada asalnya tidak dilahirkan dalam golongan kaya-raya akan tetapi kini mereka telah mencapai status kekayaan yang sebenar.

Golongan inilah yang saya cari selama ini untuk dijadikan idola serta orang yang bertanggungjawab memberi tunjuk ajar kepada saya untuk turut sama mencapai impian seperti yang telah mereka lakukan.

Saya teringat satu perumpamaan yang mana golongan yang berjaya akan berusaha untuk berada dikalangan yang berjaya juga. Dari perumpamaan itulah saya berusaha untuk mencari jaringan yang berkualiti tinggi. :)

Setelah berkenalan dengan mereka semua dengan lebih dekat, saya amati dan membuat kajian bagaimana cara hidup mereka yang sebenarnya. Ini rahsia tau, jangan beritahu mereka ya. ;)

Dari segi percakapan mereka pun sudah berlainan berbanding golongan yang berada pada tahap yang biasa-biasa. Mereka bercakap dengan penuh minat dan perhatian. Jika anda nak tahu, sikap mereka lebih kepada mendengar berbanding bercakap bilamana sedang berinteraksi.

Inilah yang saya sedari di mana golongan kaya yang sebenar memberi ruang kepada diri mereka untuk mendengar apakah yang bakal mereka pelajari daripada perbualan dengan sesiapa sahaja.

Mereka juga gemar mendengar idea dan pandangan daripada orang lain berbanding sibuk menegakkan idea mereka sahaja yang betul. Setiap idea yang dikeluarkan oleh sesiapa sahaja mereka akan beri penekanan yang tinggi kerana idea tadi akan diadaptasikan dalam perniagaan mereka nanti. :)

Dari segi pemakaian golongan kaya yang sebenar pula, mereka lebih gemar berpakaian yang sederhana bilamana tidak mempunyai sebarang urusan rasmi dan sememangnya mereka gemar bersifat tidak menunjuk-nunjuk.

Mereka hanya mengenakan pakaian yang terbaik bilamana ada urusan rasmi sahaja kerana bagi mereka sudah menjadi lumrah dalam dunia perniagaan, Dress to Impress! Jika mereka tidak mengenakan pakaian yang bersesuaian seperti perlu pergi ke bank untuk urusan rasmi, nescaya mereka tidak akan dapat memberi keyakinan yang tinggi kepada pihak bank.

Berkenaan dengan kenderaan yang mereka semua naiki, kebiasaannya kita lihat dalam kaca telivisyen, mereka akan memaparkan segala jenis kenderaan yang mahal-mahal dan bernilai jutaan ringgit. Bagi golongan kaya yang sebenar, kenderaan bagi mereka tidaklah menjadi keutamaan.

Ini kerana kenderaan tadi sentiasa mempunyai susutnilai yang berterusan dan tidak memberi apa-apa pulangan yang tinggi kepada mereka. Bak kata mereka, “Buat apa beli besi yang makin lama makin tak laku. Lebih baik beli emas mahupun tanah yang pastinya harganya bakal melambung tinggi!” ;)

Aspek pemakanan pula, golongan kaya yang sebenar ini tidak sanggup untuk menghabiskan wang hasil penat lelah mereka tadi dihabiskan di restoran-restoran yang mahal-mahal. Mereka lebih menggemari tempat-tempat yang biasa-biasa sahaja.

Bagi mereka apa yang penting adalah perut kenyang dan puas hati. Bilamana saya berada di rumah mereka, hidangan menu makanan adalah biasa-biasa juga dan mereka tidak menitik-beratkan soal makanan mewah. Asalkan kenyang sudah memadai. :)

Dari aspek pembelian barangan isi rumah, saya dapat perhatikan yang mereka ini tidak akan cuba membuat pembelian sekiranya senarai barangan yang perlu dibeli dibuat terlebih dahulu. Setelah senarai tadi itu ada, barulah mereka akan ke pasar raya dan terus membeli apa yang ada di dalam senarai itu sahaja tanpa sebarang tambahan yang tidak perlu. Itulah gaya dan teknik yang mereka amalkan semasa membuat pembelian di pasar raya.

Sepanjang hari mereka hanya memikirkan bagaimana untuk dapat meningkatkan lagi produktiviti kerja terutamanya perniagaan. Mereka semua tidak pernah jemu untuk mencuba perkara-perkara baru. Mereka tidak akan membiarkan masa mereka berlalu dengan begitu sahaja tanpa sebarang hasil yang terbaik.

Apa yang terbaik adalah bilamana mereka sudah mencapai status kekayaan yang sebenar, wang bukan lagi isu kepada mereka. Mereka mempuyai masa yang terluang untuk beribadat lebih banyak dan lebih lama. Mereka gemar melakukan solat-solat sunat seperti solat sunat dhuha dan juga solat sunat tahajud. Inilah nilai kekayaan yang mereka amalkan dan menjadi kelebihan buat mereka kerana mempunyai ruang waktu untuk beribadat. :)

Semoga perkongsian ini dapat menjadi panduan untuk anda turut serta menjadi orang kaya yang bertaqwa seperti yang telah dikupas oleh sifu saya Chef Li dalam buku beliau. ;)

Fast Action Target Hit = FATH

Related Post

Mohd Fathuallah
Tags: , , , , , , , , , , , , , , , ,

Komentar:

Halaman

Kategori

Fath di